Wednesday, January 18, 2012

Pergantungan Total Kepada Allah

Hari ini Uda perlu selesaikan hal sekolah anak. Perlu pergi ke jabatan pendidikan untuk pertukaran sekolah. Hajat di hati mahu ajak jiran temankan. Kalau Inche Husband mahu temankan lagi bagus. Tetapi Inche Husband tengah sibuk sebab ada presentation. Uda memang payah sikit kalau nak buat perkara yang tidak pernah dibuat. Ada sikit-sikit rasa takut.

Tetapi, kemudian terlintas dalam hati. Kenapa Uda bergantung sangat pada manusia? Bukankah sebaik-baik pergantungan adalah kepada Allah? Jadi, Uda ambil keputusan pergi sendiri, tak perlu siapa-siapa temankan. Memang sepanjang jalan baca doa, baca ayat kursi dengan harapan dipermudahkan segala urusan.

Alhamdulillah, akhirnya selesai juga urusan walaupun terpaksa memanjat tangga sampai tingkat 4 untuk menghantar borang. Sampai sahaja di situ, pegawai suruh duduk sekejap. Uda tersenyum. Nampak sangat dia tahu Uda kepenatan. Kiranya pegawai di situ bertimbang rasa & memahami. Borang pun dapat dihantar tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah, lega rasanya. Alhamdulillah dapat juga melepasi satu cabaran.

Pergantungan total kepada Allah = tawakal.... Tepuk dada, tanya iman.

Tuesday, January 17, 2012

Halangan Menjadi Penyabar

Setiap kali ditimpa musibah, sabar adalah ubat paling mujarab. Namun, hakikatnya sangat sukar dilaksanakan. Mengapa?

Hari Ahad yang lepas, Uda terdengar pengisian Ustazah Norhafizah Musa berkenaan halangan daripada bersabar di radio IKIM.fm. Ia berdasarkan kenyataan Dr. Yusuf Al-Qardawi. Ada 4 perkara yang menghalang kita daripada menjadi penyabar... tidak kira di dalam rumah tangga, pekerja, dengan anak-anak ataupun apa-apa sahaja.

  1. Tergesa-gesa : Fitrahnya, manusia diciptakan mempunyai sifat tergesa-gesa. Ia dinyatakan Allah di dalam al-Quran. Semuanya mahu cepat. Contohnya, jika sudah berdoa kepada Allah supaya melepaskan kita daripada musibah, lazimnya kita mahu apa yang dipinta terus berlaku. Jika tidak, kita mudah marah & kecewa. Mula menaruh rasa buruk sangka kepada Allah. Jika manusia membiarkan sifat ini bermaharajalela, sukarlah dirinya menanam sifat sabar dalam hati.

  2. Marah-marah : Sikap ini juga menghalang kita daripada bersabar. Contohnya, suami mudah marah-marah jika si isteri menegur kesilapannya. Mungkin cara teguran isteri kurang 'seni'nya. Walaupun begitu, sikap marah-marah lebih mengeruhkan suasana. Apabila marah-marah, sabar pula jauh daripada kita.

  3. Sensitif : Rupa-rupanya, sifat sensitif juga sukar membantu kita menjadi penyabar. Jadi, insan-insan yang sensitif, mudah menangis, perlu mengawal perasaan. Takut-takut kita melampaui batas sehingga syaitan mudah mempengaruhi.

  4. Mudah kecewa & give up : Sikap ini menyukarkan kita menjadi penyabar. Mungkin kerana keyakinan kepada Allah telah jatuh merudum. Sedangkan Allah boleh mengubah sesuatu dengan sekelip mata. Bantuan Allah pasti datang apabila kita bersabar.
Berusahalah untuk bersabar.

Monday, January 16, 2012

Akhirnya.....

Bismillahi walhamdulillah....

Akhirnya, niat tuan punya blog untuk mengubah 'rupa paras' blognya yang sekian lama ditinggalkan tercapai juga. Cari punya cari, rupa-rupanya mudah saja. Rindu sebenarnya mahu menulis semula walaupun bukanlah ramai pembaca yang mahu membaca pun. Takpelah... yang penting tuan punya blog rasa hepi :).

Harap sangat tuan punya blog ini dipermudahkan Allah untuk meng'update' blognya dengan perkara-perkara bermanfaat, membangkit iman & semangat. InsyaAllah.

Sampai di sini dahulu buat permulaan. Sudah hampir Maghrib....

Sunday, June 26, 2011

Umpama Pohon Willow & Oak

Bismillahirrahmanirrahim....

Ada kata pepatah berbunyi, "Mengalah ibarat pohon willow (pohonnya tegak & kuat). Tidak melawan itu ibarat pohon oak (pohonnya keras & kukuh)."

Adakah saya mampu menjadi seperti pohon willow & oak?

Thursday, April 7, 2011

Mengaktifkan Semula Minda

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, banyak sungguh nikmat yang perlu disyukuri. Bersyukur walaupun sedikit yang diperolehi. Kerana belum pasti kitakan bersyukur dengan yang banyak jika sedikit pun payah bersyukur.

Dua tiga hari kebelakangan ini, alhamdulillah diberi kekuatan untuk berusaha mengaktifkan semula minda. Jeng... jeng... jeng, dengan apa? Sudoku? Perkara yang sudah lama saya impikan, cuma... biasalah alasan.

Saya mengulangkaji kursus yang pernah saya belajar semasa di IPT suatu masa dahulu. Buat Master ke? Enggak... insyaAllah usaha saya menulis buku bersama ayah. Sudah lama ayah minta saya menulis. Biasalah anak dia yang seorang ini... ish, ish, ish. Memang ayah tidak putus asa... hehe.

InsyaAllah saya akan usahakannya dengan bersungguh-sungguh. Penat juga mahu memahami semula perkara yang sudah lama ditinggalkan. Tetapi seronok juga. Semoga Allah mudahkan saya untuk memahami & mudah untuk saya memberitahu pembaca dalam bentuk penulisan.

Doakan saya ye... CHAIYOK

Sunday, April 3, 2011

Kongsi - Bebaskan Cintamu

Saya mengambil artikel ini daripada blog genta-rasa, tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Luangkan masa untuk membaca.

Bebaskan Cintamu

Ramai orang yang mengaku menyintai orang lain – isteri atau suami atau sesiapa sahaja, tetapi hakikat sebenarnya dia bukan menyintai orang itu… tetapi dia menyintai dirinya sendiri!


Sedarlah bahawa cinta dengan memiliki itu suatu yang berbeza. Jangan silap tentang hakikat itu. Ramai pasangan suami isteri ‘terkorban’ cintanya kerana gagal membezakan antara mencintai dengan ‘memiliki’.


Bila kita mencintai seseorang, kita berfikir tentang dirinya, bukan diri kita. Kepentingan sendiri tidak dihiraukan, bahagia kekasih itu itulah yang diutamakan. Ungkapan ini menggambarkan cinta yang sejati. Sebaliknya, jika kepentingan sendiri lebih diutamakan, perasaan, jiwa dan rasa kekasih dibiarkan, maka itu bukan cinta. Itu memperalatkan cinta namanya!


Mencintai itu membebaskan, manakala memiliki itu cenderung mengikat, membelenggu dan mengawal. Berapa ramai isteri yang ‘mengawal’ suaminya atas nama cinta. Sehingga suami hilang kebebasan dan kemerdekaan dalam hidup seharian. “Bila nak balik?” “Kenapa lambat?” “Kalau abang tak balik lagi, saya akan…” Bolehkah itu dikatakan ‘ayat-ayat’ cinta? Maaf, pertanyaan itu lebih mirip kata-kata seorang majikan kepada pekerja, bukan antara isteri dengan suami tercinta.


Suami pula apa kurangnya. Segala gerak-geri isteri dipantau penuh curiga. Setapak isteri melangkah, menggelak cemburu di dalam dada. Prasangkanya sudah ke tahap merimaskan sang isteri. Salah sedikit, marah. Terlanjur sekejap, ugutan. Bila ditanya, mengapa? Si suami tidak malu mengaku, “Kerana saya terlalu cintakannya!” Padahal, jika diamati dan diteliti, itu semua kerana cintakan diri. Kasihan, si isteri menjadi sandera cinta. Dikepung oleh penjara rumahtangganya, dicemeti oleh kata-kata suaminya. Ah, ada benarnya kata bijak-pandai… kekadang perkahwinan itu menjadi pusara percintaan!


“Queen control” atau “King Control” adalah produk cinta yang palsu. Cinta yang diselaputi kepentingan diri. Kulitnya cinta tetapi isinya keegoan diri. Seperti seorang pemilik burung tekukur – diberi makan, diberi minum, dibersih dan dimandikan, dilatih berlagu – tetapi dikurung dalam sangkar. “Ini burung kesayanganku,” akuinya di hadapan tetamu. “Suaranya sungguh merdu,” puji tidak henti-henti. Sekalipun tekukur dikurung dalam sangkar emas. Sangkar tetap untuk mengurung, sekalipun sangkar emas. Kilauan sangkar emas, suara berlagu merdu, bukanlah kebahagiaan tekukur yang terkurung tetapi buat tuannya yang mengurung.


Ah, cinta kita kekadang begitu. Kita ingin memberi kebaikan yang diingini oleh kita bukan yang diingini oleh pasangan kita. Apa gunanya sangkar emas, makan-minum yang mewah, kemampuan berlagu, pada tekukur yang dibelenggu? Kalaulah terkukur boleh bersuara, dia akan berkata, “Jika benar kau sayangkan aku wahai tuanku, bebaskanlah aku.” Walaupun tertukur tidak mungkin bersuara, tetapi tuannya pasti tahu, bahawa keinginan atau naluri setiap burung adalah kebebasan. Tidak sukar memahami dan merasai jika kita benar-benar mencintai. Bukankah kekasih sejati itu selalunya bertindak memahami dahulu kemudian baru difahami?


Betapa ramai isteri yang dikurung dalam villa atau istana, yang dilimpahi intan dan permata, diberi segala dan semua… tetapi dinafikan suara hatinya. Betapa ramai pula si suami yang dijaga makan-minumnya, disiapkan pakaian dan segala keperluan lahirnya, tetapi sering disakiti dengan kata perintah, rajuk dan amuk oleh isterinya. Pelik, ketika suami belum pulang, segalanya dirisaukan. Sudah makankah dia? Kenapa lambat, rosakkah keretanya? Agaknya bagaimana dia di permusafiran? Sakitnya? Letihnya? Semuanya seakan menghantui perasaan siisteri. Tapi bila suami yang dibimbangi itu pulang… belum pun melangkah pintu, sudah dihambur dengan wajah masam mencuka, sudah dileteri dengan kata-kata yang berbisa.


Sudah lama tidak ziarah ke rumah mertua. Si suami tahu hakikat itu. Boleh jadi sudah berbulan-bulan, boleh jadi telah bertahun-tahun. Si isteri memendam rasa. Ingin bersuara takut disentak. Ingin meminta gerun dibentak. Boleh jadi akan ‘diboikot’ dengan diam memanjang hingga ‘mode silent’ begitu menyiksakan. Keinginan isteri menjenguk ibu di kampung disekat. Tetapi kononnya kerana masih cinta, lalu diajak si isteri ‘ziarah’ ke ‘shopping’ komplek atau singgah di kedai emas, dibelikan subang dan rantai agar keinginannya pulang ke kampung halaman dilupakan. Jangan, jangan begitu, dahaga rindu bukan emas dan perak galang gantinya.


Belajarlah membebaskan, bukan mengikat sewaktu bercinta. Khususnya, bagi pasangan yang telah lama berumah-tangga, prinsip ini mesti difahami sebaik-baiknya. Apabila usia perkahwinan semakin meningkat, tidak ada lagi cinta berapi berasaskan keinginan biologi dan fisiologi. Yang mampu bertahan ialah rasa cinta yang sebenar – cinta yang melepaskan bukan mengikat. Ketika warna sebenar (‘true colours’) pasangan kita semakin terserlah hari demi hari, mampukah kita bertahan lagi? Bolehkah kita bersabar atas kelemahan dan kekurangan pasangan yang ketika itu sudahpun masuk belasan bahkan puluhan tahun kita hadapi?


Sudikah kita memberi peluang kedua, ketiga bahkan tidak kira kali keberapun untuknya memperbaiki diri? Jika sudi, benar kita masih cinta. Namun jika jemu, jika enggan, jika bosan itu petanda kurangnya rasa cinta. Ingatlah, jika pasangan kita ada karenahnya, apa kurangnya kita? Jangan kesabaran kita sahaja yang diperkirakan, kesabaran pasangan kita terhadap karenah kita juga wajar dipertimbangkan. Ingat selalu, suami adalah cermi siisteri dan begitulah sebaliknya. Hubungan kesalingan ini menunjukkan bahawa bagaimana perangai dan akhlak kita maka begitulah perangai dan akhlak pasangan yang ditakdirkan untuk bersama kita!


Jadi, jangan cepat menyalah atau mengalah, sebaliknya banyakkan muhasabah diri. Sedarlah bahawa kelemahan ataupun keburukan yang ada pada pasangan kita itu sebenarnya, bukan sahaja tidak diingini oleh kita tetapi juga oleh mereka. Mereka pun pada hakikatnya sedang berhempas pulas untuk mengatasi kelemahan atau keburukan itu. Kalau begitu, adalah lebih baik sekiranya kita membantu daripada ‘membuntu’ mereka.


Malangnya, hal di atas jarang berlaku. Kebanyakan orang tidak sabar dengan karenah pasangan mereka. Keceriaan dan ketenangan hidup terasa semakin terhakis oleh tabiat buruk pasangan. “Abang, saya hilang bahagia kalau abang berterusan marah-marah begini.” “Kalau you buat muka masam macam ni, I tak da pilihan. I terpaksa keluar ‘enjoy’ dengan kawan-kawan.” Kekadang suara begitu diperdengarkan. Tetapi acapkali dipendamkan. Kata-kata itu atau yang seumpama dengannya membayangkan penuturnya hilang ‘interest’ dengan pasangannya. Kata orang, habis manis sepah dibuang. Padahal, telek-teleklah kenapa suami puan muram, kenapa isteri tuan masam… Mungkin akibat beban kerjanya di pejabat. Mungkin impak perangai anak-anak di rumah. Atau yang lebih parah lagi, mungkin kerana karenah puan atau tuan sendiri. Masya-Allah.


Kita akan membuang barang yang kita miliki sekiranya barang itu hilang fungsinya. Kalau sesuatu itu tidak membawa manfaat kepada kita, apa guna lagi untuk meyimpannya? Begitulah cinta kalau tujuannya hanya untuk memiliki. Tetapi kalau cinta itu bukan untuk memiliki, kita akan terus cinta tidak kira apa jua keadaan pasangan yang kita cintai itu… Barang yang hilang fungsi bukan untuk dibuang, tetapi untuk diperbaiki. Begitulah sikap sebenarnya seorang isteri atau suami apabila berdepan dengan keburukan atau kelemahan pasangannya. Demi cinta, dalam diam-diam suara hati mereka membisikkan, kalau aku tidak dapat apa yang aku sukai, aku mesti belajar menyukai apa yang aku dapat!


Ah, betapa hebatnya sebuah kisah cinta seorang ahli sufi terhadap isterinya. Kisah yang menyebabkan saya termenung dan merenung begitu lama. Pada hari kematian isterinya barulah masyarakat tahu bahawa dia sebenarnya bukanlah seorang yang cacat… Dia hanya ‘berlakon’ cacat hanya untuk menjaga maruah dan harga diri isterinya yang benar-benar cacat. Berapa lama dia berlakon begitu? Puluhan tahun! Subhanallah. Itulah cinta yang sebenar. Cinta yang melepaskan belenggu psikologi, penjara jiwa dan rantai fikiran yang boleh menghilangkan kebahagiaan daripada diri pasangannya.


Tidak ada cinta seikhlas cinta Allah. Allah yang Maha Kaya itu tidak memerlukan sedebu pun manfaat daripada hamba-Nya. Dia Al Qawwi, Dia Al Ghani… Tuhan maha Perkasa dan Tuhan maha Kaya, Tuhan tidak memerlukan kita sebaliknya kita yang memerlukan-Nya. Justeru, cinta-Nya benar-benar suci kerana hakikatnya Allah tidak inginkan sebarang balasan ataupun ganjaran.


Ya, Allah memang memiliki… tetapi DIA bukan membelenggu. Cinta-Nya membebaskan. Untuk bebas dariapada memperalatkan dan diperalatkan oleh cinta, jadikanlah cinta Allah sebagai asas dan di atas segala cinta. Jangan jadi sandera cinta, walaupun kepada isteri atau suamimu!

Tuesday, March 29, 2011

Rahsia Antara Kamu & Dia

Hidup ini selalunya menjadi sukar apabila kita berbuat sesuatu kerana manusia. Kenapa? Kerana kita tidak pasti balasan apakah yang bakal kita perolehi hasil daripada tindakan kita.

Kita sering mengharapkan, apabila berbuat baik kepada si dia yang bergelar insan, kita juga mahu dibalas baik. Namun, apabila buruk yang diberi, kita rasakan segala yang dilakukan hanya sia-sia, tidak berguna.

Ikhlas menenangkan jiwa, wahai diri. Buatlah sesuatu sebaik dayamu & ikhlaskan hatimu seikhlas-ikhlas yang termampu. Pastikan terasa manisnya hidup ini walaupun tika itu kau dipandang sepi. Kerana ikhlasmu adalah rahsia... antara kamu dan Dia.